mutakhir

Pelajar maut digilis lori

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

REMAJA lelaki maut digilis lori manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki bergesel dengan kenderaan berat berkenaan di Kilometer 118.7, Jalan Ipoh-Butterworth, berhampiran stesen minyak Petronas Simpang Lima, Parit Buntar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 3.55 petang dan kemalangan membabitkan motosikal dan lori.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati Muhammad Syamil Norsazlan, 16, dan rakannya dalam perjalanan dari arah Simpang Lima menghala Parit Buntar.

"Sewaktu tiba dilokasi kejadian, motosikal dinaiki dua remaja berkenaan dipercayai bergesel pada bahagian kiri lori yang hendak membelok ke simpang kiri jalan untuk memasuki pusat pengumpulan sawit berhampiran.

"Akibat pergeselan itu motosikal dinaiki hilang kawalan dan jatuh sebelum mangsa digilis serta meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakan mangsa mengalami kecederaan pada tangan kanan," katanya ketika dihubungi di Parit Buntar, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, mangsa yang maut adalah pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Kurau dan berasal dari Parit Haji Amin.

Menurutnya lagi kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pegangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Disiarkan pada: September 29, 2018 @ 11:38pm
d