mutakhir

PM tiba di London

Oleh BERNAMA

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di London ketika hampir tengah malam Sabtu untuk peringkat kedua lawatan kerja beliau ke United Kingdom (UK) selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

Dr Mahathir akan menghadiri beberapa acara di sini pada Ahad (30 September) dan Isnin (1 Oktober) sebelum pulang ke tanah air.

Pada Ahad, Dr Mahathir akan menghadiri program bersama Lotus Cars, berjumpa dengan rakyat Malaysia pada satu jamuan minum lewat petang dan menghadiri taklimat berkenaan hutang dan ekuiti.

Sebelum mengakhiri lawatan beliau ke UK pada Isnin, Dr Mahathir dijadual berucap mengenai “Masa Depan Demokrasi di Asia” di Chatham House dan dijangka menghadiri satu sesi taklimat mengenai reformasi polis dan sektor awam di UK.

Dalam peringkat pertama lawatan beliau ke UK pada 21-25 September, Dr Mahathir menyampaikan syarahan bertajuk “Cabaran-cabaran Terhadap Tadbir Urus Yang Baik Bagi Dunia Islam" yang diadakan di Pusat Pengajian Islam Oxford, melawat Imperial College London dan menghadiri sesi dialog bersama rakyat Malaysia.

Semasa di Imperial College London, Dr Mahathir berjumpa dengan Sir James Dyson, pengasas Dyson – rakan utama universiti tersebut – yang membantu penubuhan Dyson School of Design Engineering (Sekolah Reka Bentuk Kejuruteraan Dyson) di Imperial.

Dyson, seorang ‘billionaire’ British dan pencipta pembersih hampagas tanpa beg, juga berminat untuk membuat pelaburan baharu di Malaysia. Dyson kini mempunyai kilang pengeluaran selain Pusat Pembangunan Dyson Malaysia di Johor.

Seramai 500 pelajar Malaysia kini sedang menuntut di Imperial.

Disiarkan pada: September 30, 2018 @ 9:02am
d