mutakhir

'Anwar masih segak' [METROTV]

Oleh Nur Aqidah Azizi dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

SEAWAL jam 7.45 pagi, suasana Pasar Besar di sini menjadi gamat apabila calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melakukan tinjauan mesra.

Kebanyakan pengunjung dan peniaga teruja dengan kehadiran calon Pakatan Harapan (PH) itu yang sebelum ini hanya dilihat menerusi televisyen atau dada akhbar.

Ditemani anaknya, Nurul Ilham, 32, Anwar kelihatan bertenaga dan bersemangat bertemu orang ramai sambil bertanya khabar.

Malah, auranya sebagai sebagai ahli politik berpengalaman ketara apabila bijak menyantuni orang ramai.

“Nak masak apa hari ini?” tanya Anwar kepada seorang pelanggan yang sedang memilih ikan di sebuah gerai.

Sebaik memusingkan kepala untuk melihat siapa yang menegurnya, wanita berusia 50-an itu terkejut sebaik menyedari Ketua Umum PKR itu berdiri di sebelahnya.

Wanita itu nyata tergamam tetapi tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama Anwar.

Sorakan daripada peniaga dan pengunjung di pasar jelas kedengaran sebaik Anwar melambai serta bersalaman dengan mereka dalam sesi tinjauan mesra, kira-kira sejam itu.

Seorang peniaga ikan, Ikeram Pitt, 61, kelihatan sebak sebaik berpeluang bertemu dan bersalaman dengan Anwar yang berkunjung ke gerainya.

“Saya terharu kerana berpeluang bertentang mata dengan Anwar buat pertama kali. Ini pengalaman yang tak akan saya lupakan,” katanya.

Anak jati Port Dickson itu yakin Anwar mampu membawa lebih banyak pembangunan di daerah ini jika menjadi Ahli Parlimen.

Penjual sayur, Gan E Seng, 70, amat berharap Anwar menang pada PRK itu.

“Saya yakin dia mampu membantu meningkatkan kualiti hidup penduduk di sini dan membawa perubahan yang diperlukan di daerah ini,” katanya.

Anwar turut bersarapan bersama orang ramai di pasar itu sebelum meneruskan sesi tinjauan mesra di kedai berhampiran kawasan pasar.

Seorang pengunjung sebuah restoran yang sedang bersarapan, B Segeran, 63, terkejut melihat Anwar yang kali terakhir ditemuinya, kira-kira 10 tahun lalu.

“Bagus dapat melihat kemunculan semula beliau dalam arena politik kerana dia sudah lama ‘hilang’. Dia masih segak, sama seperti ketika saya menemuinya sedekad lalu.

“Saya doakan yang terbaik untuknya dan yakin Port Dickson akan lebih maju di bawah kepemimpinan beliau," katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2018 @ 11:56am
d