mutakhir

Kerusi roda 'teman' mak cik...

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

SETIAP kali azan di surau berkumandang, warga emas dari Kampung Mahligai, Kota Bharu ini akan menolak kerusi rodanya sendirian untuk surau berkenaan.

Kerusi roda itu tidak didudukinya tetapi disorong sebagai sokongan untuknya berjalan.

Hampir setiap hari, Hamlah Mohamad, 77, melakukan demikian dan jarak surau dari rumahnya kira-kira 200 meter.

Katanya, sejak arwah suaminya, Shafie Ismail meninggal dunia awal tahun lalu, dia tinggal bersendirian dan menguruskan dirinya sendiri memandangkan dua anak sudah berkeluarga serta tinggal berasingan.

“Anak ada mempelawa tinggal bersama, namun mak cik lebih selesa tinggal di rumah sendiri kerana tidak mahu menyusahkan mereka.

“Mereka akan datang menjenguk mak cik di sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Nenek kepada 12 cucu itu berkata, kerusi roda disorong untuk bergerak adalah milik arwah suaminya dan dia lebih selesa menolaknya ketika berjalan, berbanding menggunakan tongkat.

Katanya, kerusi roda lebih stabil dan seimbang berbanding tongkat.

“Ketika arwah suam masih ada, mak cik akan menolaknya dengan kerusi roda ini dan kami bersama-sama menunaikan solat di surau berhampiran,” katanya.

Hamlah berkata, pada usianya begitu, tiada apa yang dikejarkan melainkan ilmu agama dan bekalan akhirat.

Berikutan itu katanya, dia selesa meneruskan rutinnya solat jemaah dan mendengar ceramah di surau berhampiran.

“Hanya ini sahaja bekalan yang mak cik akan bawa apabila dijemput Allah kelak. Soal dunia sudah tak fikir lagi,” katanya yang turut mengambil upah membuat kelongsong kuih tepung pelita jika ada masa terluang.

Disiarkan pada: September 30, 2018 @ 3:52pm
d