mutakhir

Adik berang tetak abang

Oleh Junaidi Ladjana

LELAKI menetak abangnya kerana berang dengan sikap mangsa yang didakwa sering memandu lori dalam keadaan merbahaya di hadapan rumahnya di Kampung Kionsom, Jalan Kionsom Lama, Inanam, Kota Kinabalu, malam tadi.

Dalam kejadian 9 malam itu, mangsa berusia 42 tahun cedera di tangan kiri dan kanan selain dua kesan tetakan di lengan kanan.

Mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah sempat menghubungi pihak polis sebelum di hantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa memandu lori dan berhenti di hadapan kawasan rumah adiknya iaitu suspek di Jalan Kiansom, sebelum dihampiri adiknya sambil membawa parang.

Suspek kemudian terus menetak di bahagian tangan mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan mendapati punca kejadian dipercayai suspek tidak tahan dengan sikap abangnya yang sering memandu dalam keadaan merbahaya.

“Selain itu, mangsa dan suspek dikatakan sudah lama ada perselisihan faham antara mereka.

“Akibat perasaan marah itu, suspek bertindak menetak abangnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan suspek dan merampas sebilah parang disyaki digunakan suspek tidak lama selepas kejadian itu.

Beliau berkata, suspek berusia 40 tahun direman mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan manusia.

Disiarkan pada: September 30, 2018 @ 6:24pm
d