mutakhir

Jom Heboh Batu Kawan meriah

Oleh Shamsul Munir Safini

CUACA panas dan keadaan jalan raya yang sesak tidak menghalang orang ramai untuk mengunjungi Karnival Jom Heboh anjuran Media Prima Berhad (MPB) yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, sejak semalam.

Hari ini, lebih 40,000 pengunjung sudah hadir karnival berkenaan, dan jumlah itu dijangka meningkat sehingga 50,000 menjelang Konsert Jom Heboh yang dijadualkan berlangsung malam ini.

Karnival itu bukan sahaja menarik kehadiran masyarakat setempat, tetapi penduduk dari kawasan berhampiran seperti Relau, Bukit Minyak dan Taiping turut tidak melepaskan peluang.

Seorang pengunjung yang ditemui, Zafrul Hisyam, 32 berkata, dia baru sahaja tiba di kawasan pameran sekitar 12 minit tadi selepas mengharungi kesesakan trafik hampir setengah jam.

Katanya, lokasi pertama yang dikunjunginya bersama isteri Nurul Syakirah Abd Hamid, 25 ialah pameran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mendaftar untuk Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri).

“Saya mahu menyemak kelayakan untuk mendaftar bagi program i-Suri, namun tidak menepati kriteria yang ditetapkan iaitu pendapatan suami mestilah kurang daripada RM1,300.

“Namun saya puas hati dengan penerangan dan layanan yang diberikan pihak KWSP dan program i-Suri ini sememangnya baik bagi membantu kumpulan suri rumah,” katanya.

Menurutnya, dia datang dari Relau, berkunjung ke program itu selepas mendapat maklumat daripada televisyen.

“Ini kali pertama saya datang dan program ini sangat mengujakan kerana pelbagai promosi barangan daripada syarikat yang menyertainya karnival ini, selain pameran daripada agensi berkaitan.

“Saya ingin menunggu sehingga konsert yang akan berlangsung malam ini, namun ia bergantung kepada keadaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Saryanti Sandan, 36, berkata, dia tidak pernah terlepas berkunjung ke Jom Heboh, dan ini kali ketiga dia datang sejak pertama kali diadakan di Pulau Pinang beberapa tahun lalu.

“Kami tinggal di Bukit Minyak dan datang ke sini jam 12 tengah hari tadi bersama dua anak serta suami, dan membeli barangan promosi yang dijual.

“Saya berharap program ini dapat diadakan setiap tahun bagi memberi peluang penduduk negeri ini bertemu personaliti televisyen dan artis yang hadir.

“Saya tidak kisah bersesak dan berpanas asalkan dapat membeli barangan promosi dan beriadah bersama keluarga,” katanya yang akan menunggu sehingga selesai konsert Jom Heboh malam ini.

Jom Heboh Batu Kawan yang berlangsung bermula semalam sehingga hari ini adalah satu usaha yang diwujudkan bagi membolehkan rangkaian televisyen Media Prima Berhad mendekati penonton mereka.

Selain pameran daripada agensi kerajaan dan jualan promosi, orang ramai juga berpeluang bertemu dengan barisan personaliti TV3 selain beriadah bersama keluarga pada karnival yang bermula pada jam 10 pagi sehingga 10 malam itu.

Pada malam ini akan diadakan Konsert Jom Heboh yang bakal dibarisi beberapa artis terkenal tanah air.

Disiarkan pada: September 30, 2018 @ 8:04pm
d