mutakhir

Bekas ADUN Tahan meninggal dunia

Oleh Roselan Ab Malek

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak meninggal dunia, hari ini.

Difahamkan Allahyarham yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut berusia 46 tahun meninggal dunia ketika sedang menjalani rawatan bagi penyakit buah pinggang di Sri Lanka.

Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah mengesahkan berita kematian Allahyarham ketika dihubungi, malam ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kerana masih menunggu maklumat lengkap mengenai pemergian Timbalannya itu daripada ahli keluarga Allahyarham.

Allahyarham dipilih sebagai ADUN Tahan selama dua penggal selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 dan 13, sebelum tewas pada PRU-14, Mei lalu.

Sementara itu, ADUN Tahan daripada parti PAS, Mohd Zakhwan Ahmad Badarrdin berkata, beliau terkejut menerima berita kematian Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang bekas wakil rakyat disenangi penduduk kawasan berkenaan.

“Allahyarham adalah seorang wakil rakyat disegani penduduk dan banyak jasanya sepanjang berkhidmat sebagai ADUN kawasan ini.

“Antara sumbangan Allahyarham ialah menyiapkan jalan raya lebih baik dari Kuala Tahan ke kawasan Ulu Tembeling selain mempromosikan industri pelancongan di Taman Negara Ulu Tembeling,” katanya.

Beliau mewakili PAS kawasan Tahan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar segala kebaikan dilakukan mendapat ganjaran setimpal daripada Allah.

Pada PRU-14, Mohd Zakhwan memperoleh 5,638 undi menewaskan Wan Amizan dari Barisan Nasional yang meraih 5,569 undi, manakala calon Pakatan Harapan, Nordin Samat (945 undi).

Disiarkan pada: September 30, 2018 @ 9:52pm
d