mutakhir

'Dulu lain sekarang lain

Oleh Syalikha Sazili

Kuala Lumpur: Tindakan aktres antarabangsa kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh menerbitkan filem Billion Dollar Whale disifatkan sebagai oportunis kerana sanggup membelakangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang pernah disokongnya sebelum ini.

Kartunis, Zulkiflee SM Anwar Ulhaqur atau lebih dikenali sebagai Zunar berkata, keputusan itu membuktikan pelakon Crazy Rich Asians itu ‘gelap mata’.

Katanya sebulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) iaitu pada April, Michelle secara terbuka meminta rakyat memberikan sokongan padu kepada Najib, namun kini beliau pula mahu menerbitkan filem perilaku rasuah bekas Perdana Menteri itu.

“Beliau adalah oportunis, menyokong kawan ketika berkuasa dan memijak orang terbabit ketika kalah.

“Michelle mengumumkan akan mengeluarkan filem yang jelas membongkar isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), iaitu skandal yang mengaitkan perlakuan rasuah Najib. Dalam beberapa bulan saja, kilauan kuasa dan wang boleh merubah segalanya, Michelle?

“Saya lebih hormat artis seperti Elly Suriati yang tetap menyokong Najib walaupun ketika kalah. Saya tidak kata saya setuju Elly menyokong Najib tetapi sekurang-kurangnya dia tunjukkan setia kawan dan solidariti ketika seseorang itu senang dan susah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Zunar juga berkata Michelle mungkin hebat menjana pendapatan di industri Hollywood namun di negara ini, masyarakat lebih menilai keperibadian individu.

“Kepada Michelle, anda boleh saja terkenal di Hollywood dan boleh mengumpul banyak wang.

“Di Malaysia, kami menilai peribadi anda, bukan wang atau populariti semata. Negara ini tidak akan maju kalau lahirkan ramai orang yang tak punya prinsip seperti Michelle. Ellie Suriati seribu kali lebih kualiti daripadanya,” katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 11:32am
d