mutakhir

Keluarga tiga kanak-kanak bergelandangan disiasat

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjalankan siasatan terhadap keluarga tiga kanak-kanak yang ditemui bergelandangan berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, pada 27 September lalu.

Pegawai JKM Johor Bahru Normawarni Mahat berkata, pihaknya difahamkan kesemua kanak-kanak termasuk dua perempuan dan seorang lelaki itu ditemui pada waktu malam tanpa pengawasan ibu bapa atau penjaga.

Menurutnya, imej kesemua mereka yang menduduki suatu ruangan dirakam netizen sebelum ia tular di media sosial.

“Anggaran usia kanak-kanak berkenaan adalah antara lapan hingga bawah 12 tahun.

“Dua daripada kanak-kanak itu adalah adik-beradik manakala seorang lagi berasal dari keluarga berlainan.

“Tidak lama selepas ditemui, mereka pulang ke rumah keluarga masing-masing di Larkin,” katanya.

Normawarni berkata, pihaknya percaya berlaku unsur pengabaian kanak-kanak hingga menyebabkan mereka ditemui di kawasan awam itu.

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 11:57am
d