mutakhir

Tak tahu nasib

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: “Kami doakan semoga keluarga di Palu berada dalam keadaan selamat. Saya terkejut dan berasa sedih apabila mendapat berita mengenai kejadian gempa dan tsunami melanda tempat asal-usul keluarga sebelah isteri,” kata wartawan BH Mohd Azrone Sarabatin, 43.

Beliau ketika dihubungi berkata, kawasan yang dilanda bencana alam itu turut didiami kerabat asal-usul keluarga sebelah isterinya Noriayani Ejip, 43.

Menurut Azrone, sejak musibah itu melanda Jumaat lalu, pihak keluarganya dan isteri di Tawau, Sabah sudah beberapa kali cuba menghubungi keluarga di Palu namun masih tidak berjaya.

Dalam petikan statusnya yang menggunakan nama Verslaggever Naktratilogi itu memetik: Semoga keluarga isteri saya di Palu, Sulawesi dalam lindungan-Nya. Mereka etnik Bajau Kaili yang sering diuji. #PrayforPalu

“Walaupun mereka saudara jauh, namun saya masih ingat arwah bapa saudara isteri dan isterinya pernah ziarah di rumah kami di Tawau.

“Saya dan terutamanya isteri terkejut dan sedih mendengar berita kejadian di Palu. Masih ramai lagi keluarga yang mempunyai pertalian darah berada di sana.

“Memang jarang berhubungan tetapi kejadian ini amat terkesan untuk kami malah saya merasakan semua manusia turut terkesan dengan musibah ini,” katanya.

Sementara itu, dalam status netizen lain di FB yang menggunakan nama Anna Tira berasal dari Kota Belud, Sabah memohon rakan-rakan FB supaya mendoakan anak sulung pembantu rumahnya turut terperangkap di Palu.

Status Anna Tira dikongsikan 28 September lalu iaitu hari Jumaat berlakunya kejadian tsunami berkenaan yang memetik: Dikejutkan dengan tangisan pembantu rumahku pada jam 10.20 malam. Mendapat perkhabaran anak sulungnya di Palu, Indonesia terbabit dengan tsunami yang berlaku petang tadi. Info terakhir daripada anaknya, dia lari menyelamatkan diri ke gunung. Sehingga kini, belum dapat dihubungi. Mohon doa semua rakan-rakan, semoga anak pembantuku selamat di sana. Aminnn.

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 12:17pm
d