mutakhir

Ramainya kaki judi di Sarawak...

Oleh Goh Pei Pei

SERAMAI 280 individu di seluruh Sarawak disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian haram sepanjang bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dennis Leong berkata, penahanan itu susulan 224 serbuan dijalankan susulan operasi besar-besaran memerangi perjudian haram di negeri ini.

Selain Kuching, katanya, serbuan turut dilakukan Padawan, Sibu, Miri, Bintulu, Kota Samarahan, Bau, Betong, Limbang, Maradong, Kanowit, Marudi, Julau, Serian, Sarikei, Kapit, Mukah, Saratok, Sri Aman, Lundu, Lawas, Dalat dan Song.

“Operasi bertumpu kepada usaha membanteras perjudian haram empat nombor ekor (4D) dan pertaruhan atas talian,” katanya dalam satu kenyataan, di Kuching, hari ini.

Dennis berkata, keseluruhannya 165 lokasi diserbu membabitkan premis menjual 4D haram, manakala 54 serbuan lagi membabitkan premis perjudian atas talian.

“Beberapa individu ditahan kerana berjudi di khalayak ramai, perjudian di rumah perjudian dan aktiviti pertaruhan haram,” katanya.

Katanya, polis turut merampas 74 telefon bimbit dan tablet serta wang tunai berjumlah RM52,889.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini bekerjasama rapat dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk memotong bekalan elektrik ke premis yang dikesan menjalankan aktiviti perjudian haram,” katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 1:30pm
d