mutakhir

'Cukup, cukup sudah...' - Anwar Ibrahim

Oleh Nur Aqidah Azizi dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

CALON Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, enggan melayan tuduhan liwat terbaru yang dilemparkan terhadapnya.

“Sudahlah. Sudah lebih 20 tahun saya difitnah dengan pelbagai perkara. Jadi Lokman pun sudahlah, cari modal lain,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PRK Port Dickson, hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, dalam akaun Facebook miliknya mendakwa suami Timbalan Perdana Menteri terbabit dengan kes liwat seorang pelajar Indonesia kononnya dilaporkan portal berita Singapura.

Laporan berita itu turut mendakwa pelajar terbabit sudah membuat laporan polis di Singapura.

Bagaimanapun, portal berkenaan menafikan menyiarkan laporan berkenaan dan menyifatkannya sebagai berita palsu.

Mengikut laporan, portal berkenaan turut menghubungi Lokman bagi memintanya menurunkan dan memadamkan catatan berkenaan.

Dalam reaksi susulannya, Lokman meletakkan kenyataan berhubung penafian portal itu dalam akaun Facebook rasminya.

Kira-kira jam 11 pagi semalam, Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil, membuat laporan polis mengenai dakwaan Lokman itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini.

Anwar belum berhasrat mengambil tindakan undang-undang buat masa ini kerana mahu memberi tumpuan kepada PRK dihadapinya.

“Saya minta individu terbabit menghentikan perbuatan memfitnah saya,” katanya.

Berita berkaitan

Itu 'fake news' - Dr Wan Azizah

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 1:49pm
d