mutakhir

300 anak Kelantan meriahkan program Kacha Sugho

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

LEBIH 300 anak Kelantan yang merantau di negeri ini, memeriahkan program Kacha Sugho Anak-Anak Perantauan Kelantan-Negeri Sembilan di Bandar Seri Jempol, semalam.

Pengarah program, Mohd Riduan Ali berkata, program itu bertujuan mengeratkan silaturahim sesama anak Kelantan yang tinggal di sekitar negeri itu.

“Ini kali kedua program diadakan dan mendapat sambutan menggalakkan apabila mereka datang awal pagi lagi.

“Selain itu, program turut disertai penduduk tempatan yang turut menggemari bubur asyura versi Kelantan itu,” katanya ditemui di Jempol.

Mohd Riduan yang berasal dari Kok Lanas, Kota Bahru dan sudah enam tahun menetap di Jempol berkata, 10 kawah digunakan bagi membuat bubur asyura.

Katanya, bahan membuat bubur berkenaan dipos oleh ahli keluarga dari Kelantan dan pihaknya menanggung kos selain sumbangan anak Kelantan yang lain.

“Orang ramai turut dipersembahkan dengan persembahan Dikir Barat oleh anak Kelantan yang tinggal di Jempol selain sukaneka.

“Ini ibarat kenduri bagi satu keluarga besar, bahkan ada yang datang dari Seremban bagi menjayakan program ini,” katanya.

Mohd Riduan berkata, bubur berkenaan turut disedekahkan kepada masjid berhampiran, pusat tahfiz dan rumah anak yatim.

Zubaidah Zainal, 55, dari Bahau, berkata dia teruja kerana pertama kali menyertai program yang membabitkan anak Kelantan.

“Satu kawah ada lapan peserta dan saya satu-satunya dalam kumpulan orang Negeri Sembilan.

“Pada awalnya terpinga-pinga mendengar mereka bercakap dalam loghat Kelantan namun keadaan itu sesuatu yang meriah,” katanya.

Ahmad Zaki Mat Yaacob, 35, dari Ketereh, Kelantan dan sudah dua tahun menetap di Jempol berkata, ini kali pertama dia menyertai program yang diadakan di sini.

“Sebaik dimaklumkan dalam kumpulan WhatsApp Anak Kelantan Negeri Sembilan, saya terus bersetuju untuk menyertai dan teruja kerana dapat bertemu rakan lain,” katanya yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Serting.

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 3:23pm
d