mutakhir

Penyangak pantang bila rumah kosong...

Oleh Mohd Hilmie Hussin

WARGA emas yang menetap di Kampung Pernu, Telok Mas kerugian kira-kira RM12,000 ketika dia bersama ahli keluarga lain tiada di rumah kerana menemankan anaknya berpantang.

Mustafa Ibrahim, 77, ketika ditemui berkata, dia sekeluarga berada di rumah anaknya di Semabok sejak 8 Ogos lalu berikutan anaknya baru bersalin.

Katanya, kejadian rumah dipecah masuk hanya disedari semalam apabila menantunya pergi untuk memeriksa selepas beberapa hari ditinggalkan.

“Menantu ke rumah saya jam 2.45 petang semalam, dan ketika itulah dia menyedari rumah sudah dipecah masuk pencuri.

“Ketika kejadian, saya dan isteri Sapiah Abu Bakar, 70, berada di rumah anak di Semabok dan segera pulang untuk melihat keadaan rumah,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kandang.

Katanya, pencuri dipercayai masuk ke dalam rumah melalui tingkap bilik berikutan terdapat kesan umpil pada jeriji dan daun tingkap.

“Barangan yang hilang adalah wang tunai RM1,300, barang kemas, peralatan elektrik dan pinggan mangkuk berjenama dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM12,000,” katanya.

Katanya, kejadian itu mungkin berlaku sejak beberapa hari lalu kerana ayam di dalam peti sejuk sudah berulat dan berbau selepas pencuri terbabit dipercayai menutup suis utama bekalan elektrik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk rumah.

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 6:44pm
d