mutakhir

Klang dilanda ribut

Oleh Faliq Lajim

BERPULUH-PULUH kenderaan rosak ditimpa pokok dan pelbagai serpihan bumbung serta bahan lain diterbangkan ribut yang melanda sekitar Klang, hari ini.

Dalam kejadian selama sejam bermula 2.30 petang itu, hujan lebat beserta angin kencang menyebabkan beberapa kenderaan dan juga rumah dilaporkan rosak berikutan kejadian berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima beberapa panggilan berkenaan kejadian termasuk di Jalan Merpati, Jalan Pekan Baru dan Jalan Sireh.

Katanya, kesemua kejadian bagaimanapun tidak membabitkan mangsa namun beberapa kenderaan dan juga rumah dilaporkan mengalami kerosakan.

"Kerja pemotongan dan pengalihan pokok sedang giat dijalankan bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK). Kita juga sedang memastikan kawasan yang terbabit dalam keadaan selamat," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim berkata, pihaknya menerima beberapa laporan membabitkan kerosakan bangunan dan kenderaan di sekitar DUN itu ekoran cuaca buruk tadi.

"Pasukan PANTAS dari MPK dan JBPM sedang mengambil tindakan segera serta pihak kami meminta orang ramai bersabar bagi kerja-kerja pembersihan.

"Sila telefon 03-33748845 untuk mendapatkan bantuan atau WhatsApp kepada 016-2209191 atau 019-3421996 bersama dengan gambar dan lokasi yang tepat.

"Keutamaan akan diberikan kepada pokok tumbang yang membahayakan nyawa dan mengganggu lalu lintas. Orang ramai digesa berada di rumah sekiranya tidak ada urusan yang penting," katanya dalam satu kenyataan.

Pekabat ADUN Bandar Baru Klang juga mengeluarkan peruntukan sebanyak RM3,000 kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) bagi membantu pembaikian bumbung empat unit rumah pangsapuri Mawar dan Cempaka yang dirosak diterbangkan angin.

Dalam pada itu, jurucakap MPK berkata, pihaknya sudah mengarahkan semua jabatan berkaitan bersiap sedia dari segi logistik serta tenaga kerja bagi menghadapi kejadian seperti ini.

"Ini termasuk pemantauan dan pembersihan saluran parit di seluruh kawasan yang berisiko tinggi bagi memastikan kelancaran saliran air supaya tidak tersumbat.

"Skuad PANTAS akan sentiasa bersiap siaga dalam tempoh 24 jam dalam membuat pemantauan dan orang ramai dinasihatkan berhati-hati serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa keselamatan dalam menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Orang ramai turut dikesan menggunakan media sosial termasuk aplikasi WhatsApp dan Facebook untuk memuat naik gambar dan rakaman video kejadian ribut awal petang tadi termasuk di sekitar bulatan Taman Berkeley, Taman Eng Ann, bulatan 100 dan Meru.

Selain kenderaan persendirian dan kediaman, turut terjejas beberapa pusat beli belah apabila angin kencang menyebabkan binaan runtuh dan terkena kawasan sekitar manakala ada kawasan perumahan yang terputus bekalan elektrik selepas wayar elektrik ditimpa pokok tumbang.

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 8:20pm
d