mutakhir

Sumbangan umum bantu lunas tunggakan bil hospital

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, kami dapat selesaikan tunggakan bil hospital hasil sumbangan pelbagai pihak.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban kami sekeluarga,” kata Farah Nur Shahirah Amran, 24, ibu kepada Raysha Adriana Abdul Hazim, 3, yang menghidap kanser Pleuropulmonary Blastoma atau ketumbuhan pada tisu paru-paru tahap 3.

Menurut Farah, anak bongsu daripada dua beradik itu masih ditahan di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dihantar untuk rawatan akibat demam dan tidak sedarkan diri, Khamis lalu.

“Raysha sudah sedar, tetapi masih bergantung kepada ubatan yang diberikan oleh HKL kerana nadi dia masih lemah.

“Hari ini (semalam) adalah ulang tahun kelahiran Raysha yang ketiga dan saya ada beli kek cawan untuknya. Dia begitu gembira dan kami bersyukur kerana masih dapat melihat senyumannya.

“Kami harap Raysha kuat untuk hadapi ujian ini dan dia dapat kembali pulih,” katanya.

Farah berkata, sehingga kini sumbangan terkumpul untuk anaknya berjumlah lebih RM4,000 dan mencukupi untuk pembayaran tunggakan bil rawatan Raysha.

“Saya tidak tahu macam mana hendak balas jasa baik anda semua yang membantu meringankan beban kami dan hanya Tuhan saja yang mampu membalasnya,” katanya.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan Raysha disahkan menghidap sejenis kanser yang jarang berlaku kepada kanak-kanak sejak awal Julai lalu.

Susulan itu, dia sudah menjalani satu pembedahan bagi membuang ketumbuhan kanser pada paru-paru kanan yang menghalang saluran pernafasannya pada bulan sama.

Bagaimanapun, keluarganya menghadapi kekangan kewangan bagi menampung kos rawatan sehingga menyebabkan bil perubatan Raysha di HKL tertunggak berjumlah RM3,000.

Raysha juga dijangka menjalani pembedahan kedua bagi membuang saki-baki kanser yang dikesan masih terdapat dalam paru-parunya.

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 9:52am
d