mutakhir

Maut digilis lori

Oleh Safuri Kamarudin

PELAJAR Tingkatan Lima maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung lori di Kilometer (KM) 22 Jalan Baling-Parit Panjang dekat Baling, semalam.

Dalam kejadian 3.20 petang itu, mangsa Nurul Anis Shafinaz Abdullah, 17, dari Kampung Charok Salang, Parit Panjang, parah dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Baling pada 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shariffuddin Yusof berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai sedang mengekori Perodua Viva dari arah Parit Panjang menghala ke Baling.

“Sebaik sampai di tempat kejadian, kereta di hadapan mangsa berhenti secara mengejut menyebabkan motosikal jenis SYM ditunggang mangsa terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung lori.

“Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Baling, namun dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shariffuddin berkata, siasatan awal mendapati mangsa terjatuh di tengah jalan dan cuba bangun sebelum digilis lori berkenaan.

“Pemandu kereta berusia 23 tahun dan pemandu lori berusia 26 tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu melulu dan menyebabkan kematian,” katanya.

Jenazah mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 10:18am
d