mutakhir

Padah bila 'double park'... [METROTV]

Oleh Fardy Bungga

SATU rakaman video menunjukkan lelaki memecahkan cermin sebuah Toyota Harrier kerana dipercayai menghalang laluan apabila kenderaan itu diletakkan secara ‘double park’ menjadi tular di laman sosial.

Kejadian didakwa berlaku di Lintas Square, Kota Kinabalu, malam semalam apabila lelaki yang dipercayai pemilik Toyota Land Cruiser gagal keluar dari tempat letak kereta, berikutan dihalang oleh Toyota Harrier terbabit.

Berdasarkan rakaman berdurasi 1 minit 53 saat itu, lelaki, 50-an, terbabit dilihat memecahkan cermin sebelah pemandu Toyota Harrier sebelum dipercayai menurunkan brek tangan dan menolak kenderaan itu bersama beberapa lelaki lain.

Kenderaan Toyota Land Cruiser itu kemudian meninggalkan lokasi, sebelum rakaman itu menunjukkan pemilik Toyota Harrier muncul di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan berhubung kes berkenaan.

Katanya, polis menyedari mengenai rakaman berkenaan dan akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sama ada kejadian itu berlaku di daerah ini.

“Sekiranya benar kejadian itu berlaku, polis akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana atau Seksyen 506 kanun sama (kerana menakutkan secara jenayah).

“Bagaimanapun, polis belum menerima sebarang laporan polis daripada mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 10:50am
d