mutakhir

Mahu tangani masalah pengusaha teksi

Oleh Veena Babulal dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

CALON Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berusaha membantu masalah yang dihadapi pengusaha teksi di daerah Port Dickson.

Beliau yang mengadakan tinjauan mesra sekitar bandar ini, meluangkan masa kira-kira 10 minit bersama Persatuan Kebajikan Tuan Punya dan Pemandu Teksi atau Kereta Sewa, hari ini.

Anwar berkata, kira-kira 30 pengusaha teksi setempat meluahkan masalah dihadapi, termasuk membabitkan perkhidmatan e-hailing GrabCar.

“Saya mendengar keluhan mereka, dan selepas PRK kita akan tengok kembali apa boleh dibuat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Tuan Punya dan Pemandu Teksi atau Kereta Sewa Rosli Latif berkata, pihaknya berharap masalah persaingan dengan pekhidmatan GrabCar dapat diatasi.

Katanya, perkhidmatan itu menyebabkan perkhidmatan teksi diusahakan terjejas teruk sejak setahun lalu.

“Kami bukan mahu GrabCar dihentikan tetapi biarlah mereka mengikut sistem seperti teksi dengan bawa kenderaan ke Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan lakukan pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Selain itu, katanya, perkhidmatan bas yang terlalu banyak turut menjejaskan pendapatan kerana pemandu teksi dan kereta sewa tidak berpeluang mendapatkan pelanggan.

Jika sebelum ini mereka mampu memperoleh pendapatan antara RM80 sehingga RM100 sehari, katanya, kini angka itu hanya sekitar RM20 atau langsung tiada pendapatan.

“Kami berharap jika Anwar menjadi Ahli Parlimen, masalah ini dapat diselesaikan,” katanya.

Terdahulu, Anwar sempat mengunjungi beberapa kedai makan, pejabat pos, kuil Sri Maha Mariamman yang dinaik taraf dan beberapa kedai di Bandar Port Dickson ini.

Anwar ketika disapa sebaik keluar dari pejabat pos sempat menjerit kepada media ‘undi pos’ beberapa kali.

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 12:05pm
d