mutakhir

Kakak maut, adik parah kemalangan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SEORANG pembonceng wanita maut manakala adiknya yang menunggang motosikal parah selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, semalam.

Dalam kejadian jam 5.16 petang, mangsa Siti Rodziah Matt, 56, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, malam semalam manakala adiknya Nor Samsawanit, 38, masih dirawat di hospital sama.

Malah, motosikal dinaiki mereka turut terlekat di bahagian hadapan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina akibat kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, siasatan awal mendapati Nissan Grand Livina dipandu lelaki berusia 21 tahun berada di lorong kanan dari Taman Bersatu, Batas Paip menghala ke Alor Setar.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu MPV terbabit tidak sempat menggelak apabila motosikal dinaiki mangsa mengubah haluan ke lorong kanan menyebabkan berlaku perlanggaran.

“Akibatnya motosikal mangsa terlekat di hadapan kereta terbabit, manakala kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan.

“Pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan manakala pembonceng dan penunggang yang cedera dihantar ke HSB,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pembonceng terbabit gagal diselamatkan dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

“Saringan ujian air kencing juga dijalankan ke atas pemandu kereta terbabit. namun negatif.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 4:00pm
d