mutakhir

[UPDATE] Dua penyelia antara individu diambil keterangan

Oleh Farah Suhaidah Othman

POLIS sudah mengambil keterangan enam individu susulan kes seorang anggota tentera yang didakwa dibuli sehingga mengakibatkan kakinya melecur teruk selepas direndam dalam air panas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, mereka yang diambil keterangan termasuk dua penyelia dan beberapa orang saksi bagi membantu siasatan.

“Kes dirujuk kepada Bahagian Siasatan Perundangan berikutan kes itu membabitkan penjawat awam, namun setakat ini tiada tangkapan dibuat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” katanya.

Dalam kes berkenaan, bapa anggota tentera terbabit, Syed Mohd Nadzri Abd Jakil, 44, mendakwa kaki anaknya, Syed Mohamad Naim, 20, direndam dalam air panas secara paksa oleh jurulatih dan anggota ‘senior’ kononnya bagi mengubati penyakit cagu dialami dalam kejadian pada 14 Ogos lalu.

Susulan kejadian itu, Syed Mohd Nadzri membuat laporan polis selain melantik peguam kerana mahu pembelaan terhadap anaknya.

Pada 28 September lalu, NSTP melaporkan, mangsa yang baru tujuh bulan bertugas di sebuah kem tentera terpaksa menjalani pembedahan membuang kulit serta daging kedua-dua kakinya akibat kejadian yang berlaku kira-kira 3 pagi, 14 Ogos.

Berita berkaitan

'Nak keluarkan anak dari tentera' [METROTV]

'Sakitlah, rendam kaki dalam air panas'

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 4:12pm
d