mutakhir

'Buka pintu... kalau tak aku bunuh kau'

Oleh BERNAMA

JURUTEKNIK mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, atas tuduhan mengugut isterinya dengan berkata ‘buka pintu kalau tidak saya pukul dan bunuh kau’.

A Kapila, 38, didakwa melakukan ugutan jenayah dengan niat mengancam dan mendatangkan ketakutan terhadap C Kohila Vani, 35, dengan membaling batu konkrit ke arah kereta isterinya itu di tempat letak kereta di PPR Air Panas Setapak, Wangsa Maju, pada 4.55 petang, 27 September lalu.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar tidak menawarkan wang jaminan, namun Kapila yang tidak diwakili peguam memohon dibenarkan diikat jamin.

Majistret Rahni Kartini Abd Rahim membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan, serta tidak mengganggu saksi pihak pendakwaan sehingga kes selesai.

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 4:12pm
d