mutakhir

Petanda asap dari tayar belakang

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SERAMAI 27 pelajar dan seorang pemandu bas sekolah sempat menyelamatkan diri apabila kenderaan itu terbakar, hari ini.

Dalam kejadian 2 petang di Jalan Skudai, Kampung Laut, Johor Bahru itu, pemandu bas berkenaan pada mulanya mengesan asap keluar dari celah tayar belakang dan memberhentikan kenderaan itu sebelum ia terbakar.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru, Pegawai Bomba Kanan II, Khairul Azhar Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.15 petang sebelum sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati bas sekolah terbabit hampir 90 peratus terbakar.

“Kami mengambil masa selama 20 minit bagi memadamkan kebakaran sebelum operasi tamat pada 3.07 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khairul Azhar berkata, pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian terbabit.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan kerugian dalam kejadian berkenaan.

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 10:13pm
d