mutakhir

Umur 18 dah jadi tokan

Oleh Hamzah Osman

POLIS menahan sepasang kekasih disyaki ‘tokan’ bersama dadah jenis heroin di rumah di Kampung Bohor Masjid, Mukim Kedawang, Langkawi, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kedua-dua suspek berusia 20 dan 18 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira 6 petang.

“Hasil pemeriksaan di bilik rumah itu kita menemui satu paket plastik lutsinar berisi bahan terlarang disyaki dadah jenis heroin seberat 92.05 gram.

“Dalam serbuan itu, kedua-dua suspek yang juga penduduk tempatan bertindak agresif dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, terdahulu ketika pemeriksaan dilakukan, kedua-dua suspek sedang berehat di dalam rumah dengan pintunya dikunci dari dalam.

“Ekoran itu, polis terpaksa membuka pintu bilik menggunakan peralatan khas yang dibawa.

“Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek tiada pekerjaan tetap dan dipercayai melakukan kegiatan haram itu sebagai punca pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, pasangan kekasih itu kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 10:23am
d