mutakhir

'Mereka nak malukan saya' - Anwar Ibrahim

Oleh Veena Babulal and Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meletak harapan tinggi supaya pengundi kawasan itu yang tinggal di luar Port Dickson untuk pulang menunaikan kewajipan, 13 Oktober ini.

Ketua Umum PKR itu mengakui sukar mendapat jumlah undi besar kerana berdepan enam calon yang lain.

“Mana saya nak letak muka kalau pada 13 Oktober nanti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umum saya menang dengan majoriti 200 undi.

“Maka dengan itu, kalau ada yang ada anak tinggal di Lembah Klang atau Johor Bahru atau mana-mana saja di luar Port Dickson, suruh mereka pulang mengundi.

“Kali ini saya perlukan bantuan saudara semua, lepas ini saya pula bantu saudara,” katanya dalam ceramah ketika berkempen di Kampung Arab di sini, malam tadi.

Anwar turut menyifatkan lima calon Bebas yang turut bertanding pada PRK kali ini seakan cuba menghalangnya daripada menang selesa.

“Mereka yang letak calon Bebas ini cuma nak memalukan saya sebab tidak mahu saya menang dengan bergaya,” katanya.

Anwar yang sebelum ini menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh, memilih untuk bertanding di Port Dickson dengan aspirasi memajukan lagi kawasan setempat.

Antara pesaing utamanya ialah anak tempatan yang juga bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, atas tiket Bebas.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 3:02pm
d