mutakhir

3 jam Najib beri keterangan

Oleh Hasbi Sidek

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi keterangan selama kira-kira tiga jam di Unit Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) jam 1 tengah hari, di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pekan itu tiba di menara berkenaan jam 9.40 pagi, namun tidak menggunakan laluan utama walaupun kira-kira 50 petugas media dari pelbagai agensi menunggu sejak jam 8.30 pagi.

Difahamkan, Najib hadir kali ketiga untuk memberi keterangan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan serta proses transaksi kewangan pada tahun 2011.

Selepas hampir 5 jam menunggu, petugas media hampa apabila Najib sekali lagi tidak menggunakan laluan di lobi utama dan dipercayai meninggalkan menara itu kira-kira jam 1 tengah hari.

JSJK Bukit Aman sebelum ini dilaporkan akan memanggil semula Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor kerana memerlukan maklumat daripada pasangan terbabit untuk membantu siasatan.

Rosmah juga akan dipanggil untuk dirakam keterangan dan mengenal pasti barangan dirampas.

Pada 27 Ogos lalu, Najib hadir bersama peguamnya ke pejabat AMLA, bagi membantu siasatan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekitar jam 10 pagi.

Beliau sekali lagi hadir di unit berkenaan pada 30 Ogos lalu, namun gagal dikesan pihak media selepas beliau dipercayai menggunakan laluan dari belakang menara.

Sebelum ini, Najib berhadapan dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA) dan empat tuduhan lain terdahulu yang dipinda berhubung dana RM42 juta milik SRC International yang berada dalam akaun peribadinya.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 3:44pm
d