mutakhir

Tak lulus permit Island Music Festival

Oleh Helmy Abd Rahman

KERAJAAN Terengganu tidak meluluskan permohonan penganjur menganjurkan acara Island Music Festival 2018 yang dijadual diadakan di kawasan pantai di Pulau Redang, 12 hingga 14 Oktober ini.

Difahamkan, acara berkenaan sudah dianjurkan sejak 2013 dan sebelum ini mendapat kelulusan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, tetapi tidak mendapat permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, keputusan untuk tidak mengeluarkan permit bagi penganjuran festival berkenaan diputuskan dalam mesyuarat EXCO kerajaan negeri hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu diambil berikutan acara itu didapati bercanggah dengan moral dan adat ketimuran serta bercanggah dengan Enakmen Hiburan yang sudah ditetapkan, selain boleh mencalarkan imej kerajaan negeri.

"Selain itu, acara ini mendapat bantahan banyak pihak termasuk MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) Pulau Redang sendiri selepas tular di media sosial.

"Penganjur ada memohon permit kepada PBT selepas perkara ini kecoh, tetapi penganjuran sebelum ini memang dianjurkan tanpa permit. Kita juga dah panggil penganjur untuk mengadakan perbincangan, tetapi mereka tidak datang," katanya selepas mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak.

Sementara itu Dr Alias berkata, kerajaan negeri mengeluarkan arahan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) supaya tidak membenarkan beberapa artis kontroversi antaranya penyanyi dangdut Rosalinda dan Kak KM untuk membuat persembahan pada Soho Festival yang bakal diadakan di Stadium Negeri di Kuala Terengganu, esok hingga 6 Oktober ini.

"Berdasarkan rekod yang ada, mereka ini tidak memenuhi syarat ditetapkan. Mereka ini tidak dibenarkan buat persembahan di atas atau di bawah pentas.

"Bagaimanapun Soho Festival ini kita benarkan, tetapi sekiranya melanggar Garis Panduan Bagi Pelaksanaan Program Kesenian dan Kebudayaan negeri, kita akan terus hentikan persembahan," katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 4:52pm
d