mutakhir

'Mana ada kena tetak lah'

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Polis menafikan kejadian seorang wanita cedera ditetak di kepala akibat disamun empat lelaki bersenjata dalam kejadian di Bandar Putra, Kulai, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, wanita terbabit bagaimanapun menjadi mangsa samun empat lelaki bertopeng di lokasi itu.

Katanya, dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa yang tinggal bersama dua anak perempuan dan seorang anak saudara perempuan didatangi empat lelaki bertopeng.

“Suspek yang bersenjatakan pisau mengambil barangan dalam rumah mangsa seperti televisyen, telefon bimbit dan barangan kemas.

“Seorang suspek menunggu dalam Perodua Alza, manakala tiga yang lain masuk ke rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Katanya, semakan terhadap nombor pendaftaran digunakan pada kenderaan itu didapati palsu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial mengenai seorang wanita didakwa cedera akibat ditetak di kepala dalam kejadian samun bersenjata lima lelaki, di Jalan Merpati 3, Bandar Putra.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 6:56pm
d