mutakhir

Nasib tentera, veteran terjamin jika Anwar PM

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

NASIB tentera dan veteran terjamin jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, setiap keluhan pasukan keselamatan juga pasti akan mendapat jalan penyelesaian jika Anwar menjadi Ahli Parlimen di Bandar Tentera Darat itu.

“Kita tidak janjikan tempayan emas atau hati nyamuk tujuh talam tapi pasti akan berusaha yang terbaik,” katanya ketika berucap di Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Auditorium Muzium Tentera Darat di Port Dickson, hari ini.

Turut hadir, Ketua Umum PKR yang juga calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Panglima 1 Briged, Brigedier Jeneral Reduan Omar dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah.

Seramai 110 veteran yang pernah berkhidmat dalam Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) termasuk sembilan balu menerima PJM dalam majlis itu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Kementerian Pertahanan akan menggerakkan semula Majlis Veteran Malaysia yang sudah empat tahun tidak bermesyuarat, bagi memperkasakan hal ehwal lebih 300,000 veteran di negara ini.

“Seperti kita sedia maklum ada veteran yang mempunyai pencen dan ada yang tidak.

“Jadi jika Majlis Veteran Malaysia itu aktif semula, sudah pasti kebajikan ahlinya akan diberi perhatian,” katanya.

Katanya, beliau juga akan berusaha menggerakkan tabung kebajikan pasukan keselamatan itu yang kurang mendapat sambutan.

“Kita akan minta syarikat besar yang tiada kaitan dengan kementerian untuk sama mengisi tabung yang bertujuan membantu anggota keselamatan berjasa menjaga kedaulatan negara,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 7:57pm
d