mutakhir

Persatuan artis, polis kerja sama [METROTV]

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Port Dickson: Polis Kuala Lumpur akan mengadakan kerjasama lebih rapat dengan persatuan artis bagi memastikan anak seni yang terbabit dengan gejala penagihan dadah diselamatkan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, golongan artis terutama di ibu kota tidak terkecuali menjadi mangsa dadah akibat pengaruh rakan.

Katanya, artis dan selebriti dikategorikan sebagai pengguna dadah jalanan yang biasanya menerima bekalan daripada pengedar kecilan dan mereka menggunakannya ketika membuat persembahan atau berlakon.

"Bimbang melihat perkembangan itu, saya bertemu Presiden Kelab UMNO Artis Tanah Air (KUAT), Datuk A Rahman Hassan baru-baru ini.

"Kami (polis) memberikan nasihat supaya artis menjauhi dadah untuk menyelamatkan karier mereka," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur di Pusat Kualiti Alam Sdn Bhd, Bukit Pelandok di Port Dickson, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob dan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.

Mazlan berkata, penggunaan dadah dalam kalangan artis adalah perkara sensitif menyebabkan pihaknya berdepan kesukaran mengambil tindakan.

"Sebagai inisiatif tambahan, pihak kami bertemu persatuan (artis) untuk memberi pandangan serta nasihat kerana pengedaran dadah dalam kelompok artis sama seperti rangkaian sistem jualan langsung," katanya.

Terdahulu, pelbagai jenis dadah sebernilai RM14 juta dilupuskan selepas mendapat perintah mahkamah.

Semua dadah terbabit adalah barang kes sejak 1981 hingga tahun lalu yang membabitkan 5,222 kertas siasatan.

Ia membabitkan 26.94 kilogram heroin, 29.97 gram monoacetylmorphines, 627.07 gram campuran heroin dan monoacetylmorphines, 652.77 gram methamphethamine, 130.13 gram pil Eramin 5 dan 4.24 kilogram ketamin.

Turut dimusnahkan 10.08 kilogram candu, 51. 32 kilogram ganja, 8.22 gram pil Ectasy, 4,005 mililiter air ketum dan lain-lain dadah seberat 1.63 kilogram.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 10:52pm
d