mutakhir

'Tonto' simpan gambar pegawai JPJ [METROTV]

Oleh Zanariah Abd Mutalib

KEGIATAN "ulat" teksi di lapangan terbang antarabangsa di Sepang semakin membimbangkan apabila turut membabitkan ‘tonto’ bagi menutup jenayah itu.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati tonto berkenaan bertindak sebagai pemantau bagi 'ulat' teksi berkenaan.

Malah, mereka menyimpan gambar pegawai JPJ yang bertugas di kedua-dua lapangan terbang berkenaan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, seorang ‘tonto’ ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), hari ini.

“Lelaki berusia 39 tahun itu mengekori pegawai JPJ yang sedang bertugas tanpa menyedari bahawa ada pegawai kami yang mengekorinya.

“Hasil risikan, kita menahan lelaki ini dan dia akan didakwa di mahkamah esok di bawah Seksyen 243 (1) Akta Pengangkutan Awam 2010.

“Ini adalah kes pertama yang kita kesan membabitkan tonto dalam kegiatan "ulat" teksi. Kita tidak tolak kemungkinan ada lagi yang terbabit melakukannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengikuti Ops Khas Ulat 2.0 di klia2, malam ini.

Shaharuddin berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki itu didapati pernah ditangkap sebanyak tiga kali sebelum ini, sejak dua tahun lalu.

Selain itu, beliau berkata, ada warga asing yang menjadi "ulat" teksi selepas pihaknya menahan seorang warga Libya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 5 September lalu.

“Dia dihukum penjara selama lapan hari dan sudah pun diusir keluar dari negara ini," katanya.

Shaharuddin berkata, kegiatan "ulat" teksi itu juga semakin berleluasa apabila dilakukan tanpa mengira masa.

“Mereka mengenakan tambang kepada mangsa terutama warga asing antara RM80 hingga RM150 dari KLIA ke Kuala Lumpur, berbanding RM50 ke RM80 dengan teksi biasa,

“Malah, ada yang mengenakan tambang sehingga AS$100 (RM414)," katanya.

Beliau berkata, dalam operasi yang dijalankan pada 29 dan 30 September lalu, JPJ menahan 15 "ulat" teksi, manakala dua "ulat" teksi dalam operasi hari ini.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 11:13pm
d