mutakhir

'Saya yang patut 'pergi' dulu' - Nenek

Oleh Fazrik Kamarudin dan Nurul Hidayah Bahaudin

AHLI keluarga Mohd Ilham Fahmi Mohd Azzam, 17, tidur beralaskan tikar di hadapan sebuah rumah berhampiran lombong di Taman Putra Perdana berdekatan D’Islands, Puchong bagi menunggu berita mengenai remaja itu.

Nenek mangsa, Che Piah Bahari, 70, berkata dia bersama lapan ahli keluarga lain menaiki dua kereta dari Nibong Tebal, Pulau Pinang selepas menerima panggilan daripada anaknya Che Rosmilawati Saidin, 30-an, jam 7 malam semalam.

Katanya, dia terkejut sebaik dimaklumkan oleh anak keduanya itu mengenai berita menimpa cucunya.

“Saya terkejut sebaik dimaklumkan oleh anak mengenai kejadian itu. Saya sempat menasihatkan anak supaya bersabar dan menunggu kami tiba ke sana.

“Saya terus menghubungi ahli keluarga lain dan mengajak mereka datang ke sini. Kami tiba kira-kira jam 1 pagi tadi ke sini (lokasi kejadian) dan bermalam di sini dengan beralaskan tikar yang dibawa dari rumah di Nibong Tebal.

“Tidur saya tidak lena sepanjang malam mengenangkan nasib cucu. Saya orang tua, sepatutnya saya yang pergi dulu, bukan dia,” katanya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Che Piah berkata, cucunya yang mesra dengan panggilan Fahmi itu adalah seorang yang peramah dan aktif.

“Kali terakhir saya jumpa Fahmi adalah ketika Hari Raya Aidilfitri pada Jun lalu memandangkan anak menetap di Putra Perdana.

“Saya bersama ahli keluarga lain bertekad untuk tunggu dan tidur di sini sampai jumpa cucu.

“Sebak dada saya ketika melihat gambar anggota bomba yang meninggal dunia ketika mahu mencari cucu. Saya harap Fahmi dapat ditemui hari ini,” katanya yang turut ditemani suaminya, Saidin Md Yusuf, 73.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Disiarkan pada: October 4, 2018 @ 11:04am
d