mutakhir

Penantian bertukar detik menyayat hati

Oleh Norrasyidah Arshad; Siraj Mohd Zaini; Teoh Pei Ying dan Ruwaida Md Zain

PENANTIAN penuh setia seorang isteri anggota bomba bertukar detik paling menyayat hati apabila suaminya meninggal dunia ketika dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang mangsa lemas, semalam.

Rosmaria Abd Ramli, 32, berkata suaminya Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, sempat menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp pada 6.55 petang dan memberitahu akan pulang lewat kerana terbabit dalam SAR pada waktu malam.

“Arwah beritahu akan pulang lewat, tapi bila sudah jam 11 malam, dia masih tidak balik lagi, saya dan tiga orang anak sudah tertidur.

“Tetapi saya dikejutkan pada 12 tengah malam apabila tiga anggota bomba ketuk pintu rumah dan beritahu suami meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Seksyen, 15, Shah Alam, hari ini.

Allahyarham Izatul Akma berkhidmat di BBP Pelabuhan Klang sejak 2015 lalu dan ditempatkan dalam Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA).

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia tujuh, empat dan dua tahun.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa dari Hospital Serdang dan ditempatkan di BBP Shah Alam untuk upacara penghormatan terakhir serta solat jenazah.

Dalam pada itu, Rosmaria berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku sebelum kejadian berkenaan.

“Pagi sebelum pergi kerja arwah macam biasa, saya sempat bersalam dan mencium tangannya.

“Bila tengah malam tadi diberitahu, rasa macam mimpi, sebab betul-betul tak sangka arwah pergi,” katanya.

Katanya, anak sulungnya sangat rapat dengan arwah dan seakan-akan memahami bapanya sudah meninggal dunia.

“Bila anak tengok wajah arwah abahnya, dia (anak sulung) kata abah tengah tidur dan selepas itu dia diam,” katanya.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di kampung halamannya di Rantau Panjang, Kelantan.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Disiarkan pada: October 4, 2018 @ 12:56pm
d