mutakhir

Saya OK - Rosmah

Oleh Farah Marshita Abdul Patah

“SAYA okay”. Demikian reaksi ringkas Datin Seri Rosmah Mansor ketika ditanya wartawan mengenai perasaannya selepas menghadapi 17 pertuduhan membabitkan dirinya dengan pengubahan wang haram dan kegagalan membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Isteri bekas Perdana Menteri itu berkata demikian ketika ditemui sebelum beredar bersama suaminya, Datuk Seri Najib Razak dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, jam 12.30 tengah hari ini.

Rosmah juga sempat merakamkan rasa terima kasih dan mengucapkan ‘I love you’ ketika melambai-lambai tangannya ke arah penyokong beliau yang hadir sejak 7 pagi tadi.

Lebih 30 penyokong terbabit hadir di pekarangan mahkamah berkenaan bagi memberi sokongan moral kepada isteri bekas Perdana Menteri itu.

Terdahulu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan membabitkan dirinya dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada LHDN.

Rosmah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan satu persatu oleh dua jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mahkamah membenarkan Rosmah diikat jamin RM2 juta dengan dua orang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan dua syarat menyerahkan dua pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi dan bakal saksi pendakwaan.

Berita berkaitan

RM2 juta ikat jamin Rosmah

Rosmah mengaku tak bersalah

Disiarkan pada: October 4, 2018 @ 2:43pm
d