mutakhir

'Arwah ada tak sedap hati...'

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

“ARWAH anak ada meluahkan rasa tidak sedap hati kepada dua kakaknya untuk menjalani latihan berenang yang diadakan pagi semalam.

“Ketika pulang ke kampung selama tiga hari sejak Ahad lalu, anak tidak henti bercerita mengenai tugasannya yang membantu masyarakat termasuk mangsa lemas,” kata Wan Kamilah Wan Yakob, 53, ibu kepada Muhammad Hifdzul Malik Shaari.

Muhammad Hifdzul Malik, 25, seorang anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM) Shah Alam

yang maut ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lelaki lemas di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, malam tadi.

Wan Kamilah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Terap, Pasir Mas berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu amat minat dengan pekerjaannya dan menyertai pasukan bomba sejak lima tahun lalu.

Katanya, apabila pulang ke kampung anaknya suka bercerita mengenai tugasannya menyelamat masyarakat.

Menurutnya, arwah anak tidak menunjukkan sebarang perubahan dan dia pulang ke rumah selama tiga hari pada Ahad lalu bersama dua kakaknya untuk melihat ayah tirinya, Tengku Din Tengku Lega, 74, yang menghidap sakit jantung.

“Sebelum bergerak ke Shah Alam, kami sempat bersalaman dan arwah anak bersama dua kakaknya bergegas ke sana memandangkan dia perlu bertugas pagi semalam (Rabu).

“Saya mengetahui kejadian yang menimpa anak pada jam 12 tengah malam selepas dimaklumkan anak saudara dan anggota bomba Pasir Mas yang datang ke rumah,” katanya yang reda dengan kejadian itu.

Jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terap, petang ini.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Disiarkan pada: October 4, 2018 @ 4:00pm
d