mutakhir

Tiada 'gempa bumi' di Ipoh

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

JABATAN Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menafikan gegaran dan dentuman kuat yang berlaku di sekitar Ipoh dan daerah berdekatan berpunca daripada gempa bumi.

Ketua Pengarahnya Alui Bahari ketika dihubungi memaklumkan tiada amaran gempa bumi dikesan melalui alat pengesanan gegaran gempa.

“Kami turut menerima maklumat awam mengenai gegaran itu, namun buat masa ini tiada gempa bumi dikesan menjadi punca kepada gegaran itu di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu kejadian dentuman kuat berserta gegaran yang berlaku di bandar raya ini jam 11 pagi sehingga menimbulkan tanda tanya dan panik dalam kalangan orang ramai.

Dentuman seperti letupan dan gegaran turut didakwa didengari sehingga ke beberapa kawasan lain termasuk di Taiping.

Kejadian itu menarik perhatian netizen yang turut mencari punca dentuman, malah ada yang mengaitkannya dengan gempa bumi yang berlaku di Sulawesi Tengah, Indonesia.

Ada juga yang mengaitkan dentuman itu berpunca daripada latihan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sementara itu, Komandan Akademi Tentera Udara (ATU) Kolonel Abdul Nazar Abdul Hamid ketika dihubungi menafikan dentuman dan gegaran berkenaan berpunca daripada aktiviti latihan pasukan terbabit.

Katanya, beliau sudah menyemak dengan pegawainya dan memaklumkan tiada sebarang aktiviti latihan menggunakan bahan letupan dijalankan pasukan itu.

Disiarkan pada: October 4, 2018 @ 4:56pm
d