mutakhir

Padah terlelap...

Oleh Omar Osman

“KETIKA itu saya tidak sedar kereta dipandu masuk ke laluan kanan sebelum terkejut melihat sebuah lori di hadapan dan cuba elak namun gagal kerana waktu itu lori terbabit sudah betul-betul di hadapan.”

Begitu kata Mohd Afiz Mohamad Azan, 31, selepas kereta Perodua Viva dipandunya bertembung dengan lori pasir di Batu 9 Jalan Sungai Petani -Kuala Ketil petani, di sini, menyebabkan isterinya, Nurul Husna Md Amin, 29, meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, tiga anaknya Nur Damia Khalisha Mohd Haizarul, 3, Nur Damia Inshirah, 6 dan Mohd Amzar Haziq, 8, serta kakak ipar Nur Amalina Md Amin, 30, pula parah dan sedang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Mohd Afiz berkata, sebelum kejadian jam 1.45 tengah hari mereka keluar dari kuaters Penjara Sungai Petani untuk pulang ke rumah mentuanya di Kampung Charok Akar, Baling selepas mengambil kakak iparnya di situ.

Menurutnya, bagaimanapun sebaik tiba di tempat kejadian dia tidak menyedari keretanya sudah masuk ke laluan sebelah kanan sebelum terkejut melihat lori dari arah bertentangan di hadapannya.

“Saya cuba mengelak dari bertembung dengan lori itu, tetapi gagal lalu merempuh bahagian hadapannya.

“Selepas itu saya sempat melihat keadaan isteri di sebelah dan kakak ipar serta anak di tempat duduk belakang sebelum tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di pekarangan HSAH, hari ini.

Katanya, walaupun sedih di atas kehilangan isterinya namun dia reda dengan ketentuan takdir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketika kejadian pasangan suami isteri itu bersama kakak ipar dan tiga anaknya yang menaiki kereta Perodua Viva dari Sungai Petani ke Tawar Kuala Ketil dan lori pasir dari Kuala Ketil ke Sungai Petani.

“Pemandu kereta terbabit dipercayai terlelap seketika menyebabkan keretanya masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori itu.

“Akibat pelanggaran itu, Mohd Afiz cedera di muka, namun isterinya yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian sementara yang lain parah,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit tidak cedera dan mayat dihantar ke HSAH untuk bedah siasat serta kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: October 4, 2018 @ 9:10pm
d