mutakhir

Semoga Allah merahmati rohmu Yahya [METROTV]

Oleh Khalid Latip dan Harun Yahya

LEBIH 200 anggota hadir pada majlis pengebumian jenazah anggota bomba, Yahya Ali, 24, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tian, Matu di Mukah, malam ini.

Jenazah wira negara itu dikebumikan jam 7.25 malam sejurus selesai solat Maghrib dan solat Jenazah di rumah keluarganya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie dan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Khirudin Drahman.

Terdahulu, jenazah diterbangkan ke rumah keluarga Allahyarham di Kampung Tian menggunakan helikopter Unit Udara Bomba dari Lapangan Terbang Sibu.

Ia selepas jenazah tiba dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, jam 6.18 petang.

Jenazah Yahya kemudian dibawa ke rumah keluarganya bagi membolehkan ibu bapa dan adik-beradiknya memberikan penghormatan terakhir.

Khirudin turut menyerahkan bendera jabatan yang membaluti keranda Allahyarham kepada bapanya, Ali Bengang, 53.

Yahya antara enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor yang terkorban ketika melaksanakan misi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lemas di sebuah tebatan lombong di Puchong, Selangor, malam semalam.

Sementara itu, Ahmad Johnie ketika ditemui merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota terbabit, malah menganggap pemergiannya sebagai kehilangan besar kepada komuniti setempat.

“Pengorbanan Allahyarham cukup besar dalam melaksanakan tanggungjawab digalasnya. Semoga Allah merahmati rohnya setimpal dengan khidmat baktinya,” katanya.

Beliau berkata, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Igan sentiasa bersedia untuk membantu keluarga anggota bomba berkenaan.

“Malah, kerajaan negeri juga sedang meneliti bentuk bantuan bersesuaian untuk disalurkan kepada mereka,” katanya.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Disiarkan pada: October 4, 2018 @ 9:13pm
d