mutakhir

Adoi, sakitnya...

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

KANAK-KANAK lelaki menahan kesakitan lebih sejam apabila jari telunjuk kanannya tersepit pada tombol pintu di rumahnya, malam tadi.

Kejadian berlaku antara 10 hingga 11 malam ketika mangsa, 5, berada di rumah keluarganya di Kampung Bukit Pekan, Kampar dekat Ipoh.

Berikutan itu, keluarganya membawa kanak-kanak itu ke Hospital Kampar untuk menerima rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, HRPB bagaimanapun tidak dapat mengeluarkan jari kanak-kanak berkenaan sebelum meminta bantuan pihaknya pada 11.27 malam.

“Kami menghantar anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh diketuai Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Jamaluddin Md Amin untuk membantu.

“Kami gunakan peralatan khas bagi memotong dan mengumpil tombol pintu berkenaan. Kanak-kanak itu kemudiannya dirawat di hospital berkenaan,” katanya dihubungi.

Menurut jurucakap, operasi tamat pada 11.57 malam dan keadaan kanak-kanak itu stabil.

Disiarkan pada: October 5, 2018 @ 10:57am
d