mutakhir

Harap Jho Low muncul

Oleh Farah Marshita Abdul Patah

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mahu ahli perniagaan dalam buruan, Low Teak Jho atau Jho Low keluar daripada pemburuan bagi memberi keterangan dalam kes Datuk Seri Najib Razak.

Muhammad Shafee yang mewakili bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau mahu menyoal siasat Jho Low.

“Saya harap Jho Low muncul supaya kita boleh mengetahui kebenaran sebenar.

“Kalau Jho Low ada di sini, beliau tidak boleh mengelak dan akan dipanggil sebagai saksi.

“Kita ada banyak dokumen, berjuta, namun, kita tidak ada individu untuk memberi keterangan yang boleh memberi konteks dan makna kepada dokumen berkenaan,” katanya ditemui media selepas sebutan semula kes Najib di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Muhammad Shafee turut berkata, sehingga kini, pihaknya masih belum menerima surat pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Datuk Sulaiman Abdullah sebagai timbalan pendakwa raya secara fiat (kebenaran rasmi).

Katanya, beliau sudah meminta satu salinan surat pelantikan itu diberikan kepada mahkamah dan pihaknya bagi tujuan rayuan kes bekas Perdana Menteri berkenaan.

“Tertuduh dan orang awam berhak untuk mengetahui bagaimana pelantikan Sri Ram dan Sulaiman dilakukan.

“Bagaimanapun hari ini (semalam), Sulaiman memberitahu dokumen itu adalah Akta Rahsia Rasmi,” katanya.

Muhammad Shafee turut mempersoalkan mengapa pelantikan Gopal Sri Ram dan Sulaiman adalah di bawah Akta Rahsia Rasmi memandangkan pelantikan timbalan pendakwa raya digazet dan direkodkan.

“Ketika prosiding bersama Gopal Sri Ram, dokumen itu sudah ditunjukkan kepada kami tanpa diberikan sebarang salinan, namun hari ini, Sulaiman memberitahu ia Akta Rahsia Rasmi.

“Mereka seharusnya telus dengan menunjukkan kepada kami bagaimana pelantikan itu dilakukan, namun, dalam era ketelusan, ternyata mereka tidak telus,” katanya.

Disiarkan pada: October 5, 2018 @ 11:12am
d