mutakhir

Dah dua hari tak makan

Oleh Mohd Rizal Abdullah

WANITA warga emas terpaksa dikejarkan ke Hospital Miri oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) selepas dilaporkan terlalu lemah dalam kejadian di Permyjaya, Miri, semalam.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, wanita berusia 82 tahun berkenaan dilaporkan tidak makan dan minum selama lebih dua hari mengakibatkan badannya terlalu lemah.

Pegawai Operasi APM Miri, Kapten Hazlee Shah Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.47 malam berhubung kejadian itu.

Menurutnya, tiga anggota APM Miri dikerahkan ke lokasi dan mendapati warga emas itu dalam keadaan terlentang di lantai.

“Anak perempuan warga emas berkenaan memberitahu ibunya sudah berhari-hari tidak dapat makan dan minum, selain sakit di bahagian belakang.

“Keadaan warga emas itu semakin teruk pada waktu malam kerana sering muntah dan sakit di bahagian perut dan belakang,” katanya

Beliau berkata, pihaknya kemudiannya membantu mengangkat warga emas berkenaan dan dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

Disiarkan pada: October 5, 2018 @ 2:25pm
d