mutakhir

10 budak bawah umur didakwa merogol [METROTV]

Oleh Shaarani Ismail

SEPULUH remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas dakwaan merogol gadis berusia 13 tahun, bulan lalu.

Kesemua mereka yang berusia antara 15 hingga 17 tahun dituduh melakukan perbuatan itu di rumah kosong dan beberapa lokasi lain di sekitar Kamunting, dekat Taiping, antara 9 pagi hingga 3.30 petang pada 18 hingga 25 September lalu.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka secara tertutup kerana membabitkan pesalah juvana, oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Siti Nor Rasyidah M Nadzri.

Siti Nor Rasyidah berkata, tujuh daripada remaja terbabit berdepan satu pertuduhan, dua menghadapi dua pertuduhan manakala seorang lagi tiga pertuduhan.

Katanya, semua remaja terbabit didakwa mengikut Seksyen 376(2) (d) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan sebatan.

Beliau berkata, tertuduh yang dihadapkan dengan satu pertuduhan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin, manakala yang menghadapi dua dan tiga pertuduhan masing-masing dikenakan jaminan sebanyak RM4,000 dan RM6,000 dengan seorang penjamin.

“Mahkamah menetapkan 28 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan kesemua tertuduh membuat lantikan peguam dan bagi membolehkan laporan akhlak diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Kesemua tertuduh juga dikenakan jaminan bersyarat iaitu tidak dibenarkan untuk mendekati dan mengganggu mangsa sepanjang prosiding berlangsung hingga kes berkenaan selesai,” katanya.

Semua tertuduh diwakili peguam, M Kathan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Disiarkan pada: October 5, 2018 @ 3:00pm
d