mutakhir

Nekad terjun dari rumah terbakar

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SEORANG ibu nekad terjun dari tingkat atas rumahnya selepas memastikan semua anak, cucu dan menantunya selamat keluar dari kediaman mereka yang terbakar di Taman Sri Putri dekat Skudai, hari ini.

Pada kejadian 3.30 pagi itu, Leong Ah Kiow, 60, pengsan dan hampir 50 peratus badannya melecur.

Ia turut menyebabkan lima lagi individu cedera.

Menurut jiran yang enggan dikenali, kebakaran dipercayai berpunca daripada sebuah kereta yang terletak di hadapan pintu rumah berkenaan.

“Saya sedang tidur dan dikejutkan dengan bunyi riuh dan orang menjerit. Apabila saya keluar dari rumah, saya melihat api sudah marak di rumah berkenaan. Ketika itu, sebuah kereta di hadapan rumah yang paling dahulu terbakar.

“Asap hitam sangat tebal, kemudian saya lihat seorang demi seorang penghuni dalam rumah keluar dari rumah. Saya nampak ibu mereka menjerit dan suruh semua anak, menantu dan cucunya keluar terlebih dahulu.

“Ibu itu menjadi orang terakhir dan dia terpaksa terjun dari atas untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui berhampiran lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, mangsa, lima sekeluarga dan seorang kenalan mereka itu masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Ah Kiow selaku pemilik rumah melecur 49.5 peratus di bahagian badannya, manakala anak perempuannya, Hoo Pei Joo, 25, melecur 10 peratus, namun keadaan kedua-duanya stabil dan dirawat di HSI.

“Dua lagi yang cedera ialah anak lelakinya, Pang Kin Boon, 39, dan menantu perempuannya, Ong Yee Wen, 28, yang kini dirawat di HSA.

“Turut dirawat di HSA, cucu lelaki Ah Kiow iaitu Pang Jun Xi yang berusia setahun lapan bulan dan kenalan keluarga terbabit, Ooi Wan Ching, 21,” katanya.

Beliau berkata, akibat kebakaran, hampir musnah sepenuhnya.

“Selain itu, tiga kereta juga terbakar,” katanya.

Disiarkan pada: October 5, 2018 @ 4:37pm
d