mutakhir

Maut disambar petir

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

LELAKI Orang Asli maut dipanah petir ketika mengutip barang lusuh di tempat tapak pelupusan Kok Foh di Jempol, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nurhishamuddin Hashim berkata, Riduan Ahmad, 24, dari Kampung Orang Asli Panchor meninggal dunia dalam kejadian jam 5.30 petang itu.

Katanya, mangsa dipercayai ke lokasi bersama beberapa ahli keluarga bagi mencari barang lusuh di tempat pembuangan sampah itu ketika hujan renyai.

“Selepas dipanah petir, ahli keluarga melihat mangsa rebah dan tidak sedarkan diri sebelum menghubungi 999 untuk bantuan dan pasukan paramedik yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Mayat dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasatan dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Sementara itu, ibu mentua mangsa, Normala Johari, 42, berkata pada hari kejadian dia dan Riduan dan isterinya, Norlaili Khairul, 21, masuk ke tapak pelupusan itu bagi mencari bahan terpakai untuk dijual.

“Kami kutip barang terbuang seperti tin, besi dan aluminium untuk dijual bagi menambahkan pendapatan.

“Ketika itu hujan renyai dengar petir. Tetapi tiba-tiba petir menyambar kawasan kami berada dan saya lihat Riduan terbaring di atas tanah,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Normala berkata, dia dan anaknya bergegas mendapatkan Riduan dan melihat tubuhnya berasap serta ada kesan terbakar manakala barang lusuh yang dikutipnya bertaburan.

Katanya, dia menghubungi 999 sebelum polis dan ambulans tiba di lokasi kejadian kira-kira 30 minit kemudian.

Menurutnya, Riduan bekerja sebagai penoreh getah dan rajin mencari pendapatan sampingan dengan mengutip barang lusuh di sekitar kampung dan kawasan berhampiran.

Keluarga berkenaan turut dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Jeram Padang, Datuk L Manickam yang menghulurkan sumbangan peribadi.

Disiarkan pada: October 5, 2018 @ 5:57pm
d