mutakhir

Hakim tegur tertuduh tak ikut perancangan

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

HAKIM Mahkamah Sesyen Madihah Harullah, hari ini menegur dua bekas anggota polis kerana mengubah pengakuan hingga menyebabkan kes mereka ditunda.

Tertuduh, Norfazlizan Mat Zain, 34, dan Mohd Fairuz Abd Jalil, 37, dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban atas tiga pertuduhan mengambil suapan bernilai keseluruhan RM10,000 untuk melepaskan seorang peniaga rokok seludup.

Sebelum ini, mereka dihadapkan ke mahkamah sama pada 8 Februari lalu atas kesalahan serupa, tetapi membuat pengakuan tidak bersalah dan mahkamah menetapkan 15 Mac lalu untuk sebutan semula kes itu.

Ketika prosiding berkenaan (15 Mac), kedua-dua tertuduh sekali lagi mengekalkan pengakuan tidak bersalah sebelum, mahkamah menetapkan sebutan semula kes terbabit, hari ini.

Bagaimanapun, pada prosiding hari ini, mereka yang dijangka menukar pengakuan kepada bersalah, tiba-tiba mengekalkan pengakuan tidak bersalah di hadapan hakim, memaksa teguran dibuat.

Madihah kemudian meminta peguam Ardelliza Izmaryanti Shafie yang mewakili Norfazlizan dan Norman Mohd Nasir (Mohd Fairuz) supaya menasihati mereka demi kelancaran perbicaraan.

Beliau kemudian menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes disusuli perbicaraan. Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa menerima RM3,000 untuk melepaskan Chan Heng Loy dan tidak mengambil tindakan kerana menjual rokok seludup di Taman Kiara, Sikamat jam 7.30 malam, 7 Disember 2014.

Bagi pertuduhan kedua, mereka yang ketika itu bertugas di Bahagian Am Balai Polis Sikamat didakwa menerima RM5,000 untuk melepaskan lelaki itu bagi tujuan sama di bangunan kedai serbaneka 7-Elevan di Taman Sri Pulai, Sikamat pada jam 7.50 malam, 7 Disember 2014.

Sementara pertuduhan ketiga, mereka didakwa menerima RM2,000 daripada individu itu atas tujuan sama di Pangsapuri Markisa, Berek Balai Polis Sikamat pada jam 4.20 petang, 13 Disember 2014. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Disiarkan pada: October 5, 2018 @ 7:40pm
d