mutakhir

MPB raih tiga perak, satu gangsa

Oleh Ahmad Suhael Adnan

MEDIA Prima Berhad (MPB) meraih tiga anugerah perak dan satu anugerah gangsa, pada Anugerah Majlis Pemasaran 2018 di Singapura, minggu lalu.

Keempat-empat anugerah diterima kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia itu hadir menerusi dua acara padang, iaitu Festival GegaRia dan Pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) 32 Bergerak.

Pentas AJL 32 Bergerak meraih dua anugerah perak iaitu Majlis Terbaik - 'Home-grown' dan Majlis Terbaik - PR/Aksi Pemasaran Gerila.

Festival GegaRia pula meraih satu anugerah perak, iaitu Majlis Terbaik - Pengguna dan satu anugerah gangsa, iaitu Majlis Terbaik - Penggunaan Blogger dan Influencer.

Kemenangan itu menambah kejayaan signifikan MPB yang sebelum ini memenangi anugerah Syarikat Media Terbaik 2018 dan penghargaan utama lain di pertandingan berprestij The Sparks Awards 2018.

Ketua Pengarah Eksekutif Rangkaian Televisyen MPB, Johan Ishak berkata, pelaksanaan acara seperti Pentas AJL 32 Bergerak dilaksanakan kerana mereka memahami keperluan dan kehendak penonton golongan milenial.

Katanya, acara kejutan yang diadakan secara langsung di dalam Transit Aliran Massa (MRT) oleh artis tempatan menampilkan 12 lagu finalis AJL, membolehkan penumpang berkongsi suasana berkenaan bersama kenalan mereka menerusi peranti mudah alih.

“Anugerah ini adalah bukti MPB berada di landasan yang betul untuk mencapai misi menjadi syarikat kandungan digital dan perdagangan terkemuka di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Abdul Hamid berkata, Festival GegarRia adalah acara pertama berkonsep digital anjuran MPB, bagi memberi peluang kepada golongan milenial berhubung, berkongsi dan memberi inspirasi kepada komuniti lebih besar.

"Semua ahli pasukan Festival GegaRia memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjuran acara dan berhak menerima pengiktirafan ini," katanya.

Anugerah Majlis Pemasaran 2018 edisi ketujuh merekodkan 200 penyertaan

dalam 28 kategori daripada agensi penganjuran acara terkemuka di Asia Tenggara.

Disiarkan pada: October 5, 2018 @ 10:08pm
d