mutakhir

'Masih ada yang amalkan sihir'

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

MESKIPUN teknologi bergerak pantas setiap hari, amalan sihir, santau atau menuntut ilmu bercanggah ajaran Islam masih diamalkan segelintir masyarakat Melayu negara ini.

Penasihat Umum Pertubuhan Akademi Rawatan Islam Syifa’ Sunnah (ARISS), Mubi Mat Hussain berkata, berdasarkan pengalaman selama 10 tahun dalam dunia perubatan Islam, amalan sihir, santau dan ilmu bercanggah dengan Islam masih banyak diamalkan dalam kalangan masyarakat Melayu.

Katanya, malah setiap kali siri jelajah dan program bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung sihir dan perubatan Islam diadakan di beberapa masjid negeri seluruh semenanjung, pasti ada pesakit mengalami gangguan.

“Berdasarkan pengalaman di pusat rawatan, masyarakat Melayu kita masih lagi mengamalkan sihir, santau dan sebagainya malah masih ada mengamalkan ilmu Syaitan iaitu ilmu yang menggunakan khidmat jin yang mana bila pesakit ini meninggal kelak, anak cucunya akan menerima saka.

“Dari Perlis sampai ke Johor, saya perhatikan ada masalah sihir di setiap masjid yang saya pergi ada, cuma bilangannya ramai atau tidak. Orang Melayu kita memang tidak boleh dipisahkan dengan sihir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Ruqyah Perdana Program Rawatan Islam secara percuma anjuran ARISS dihadiri 300 peserta di Masjid an-Najah, Taman Daya, Johor Bahru hari ini.

Mubi berkata, majlis Ruqyah Perdana yang julung kali diadakan itu diharap dapat memberi kesedaran kepada peserta dan masyarakat luar umumnya mengenai kesan sihir selain mendedahkan kepada semua perubatan atau rawatan Islam sebenarnya.

“Sekarang ramai pesakit yang lebih cenderung pergi ke golongan di sebut USKUN iaitu ‘Ustaz Dukun’ yang luarannya nampak seperti seorang ustaz, tetapi amalan atau kaedah perubatan cenderung ke arah dukun.

“Pada program ini peserta dibekalkan dengan risalah ayat al-Quran yang sesuai diamalkan sebagai pendinding dan kami di sini mahu memberi kesedaran mereka boleh merawat sendiri atau mendinding diri tanpa perlu ke pusat rawatan,” katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2018 @ 1:48pm
d