mutakhir

'Saya takut... Saya tak ada lesen'

Oleh Hasbi Sidek

REMAJA lelaki nekad menggadaikan nyawa sendiri dengan melawan arus sejauh kira-kira 2 kilometer kerana mahu mengelak ditahan pihak polis dalam sekatan jalan raya di Jalan Genting Klang, dekat Setapak, malam tadi.

Dalam Ops Motosikal yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bermula 10 malam itu, remaja berusia 17 tahun dan masih bersekolah itu hampir melanggar anggota yang cuba menahannya selepas dia membuat pusingan.

Bagaimanapun, selepas kira-kira 2 kilometer melarikan diri dengan melawan arus, remaja yang dikejar lima anggota polis menggunakan motosikal itu berjaya ditahan dekat Wangsa Maju, sebelum pemeriksaan mendapati dia tidak mempunyai lesen.

Ketika ditanya wartawan, remaja yang berasal dari Gombak itu mendakwa dia takut kerana tidak mempunyai lesen sebelum bertindak melarikan diri.

Malah dalam pemeriksaan itu juga, dua remaja yang menaiki motosikal turut cuba melarikan diri, malah remaja yang membonceng sempat turun dari motosikal dan berlari, namun kedua-keduanya sempat dicekup sebelum pemeriksaan mendapati penunggangnya tiada lesen memandu.

Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur Suprintendan Sarifudin Mohd Saleh berkata, sebanyak 215 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan dalam Ops Motosikal itu.

“Dalam Ops Motosikal sebanyak 55 saman dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen memandu, 43 saman kerana lesen tamat tempoh, 32 kerana cukai jalan tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi 31 saman dan bakinya lain-lain kesalahan.

“Tiga remaja turut ditahan kerana didapati cuba melarikan diri dari pemeriksaan. Tindakan mereka yang melawan arus membahayakan keselamatan dirinya dan keselamatan pengguna jalan raya lain sehingga boleh mendatangkan kematian,” katanya ketika sidang media sejurus operasi tamat.

Beliau berkata, operasi berterusan dilakukan bagi memastikan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal mematuhi peraturan lalu lintas dan kami mendapati kesalahan tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh masih di tahap membimbangkan.

“Seperti remaja yang kami tahan kerana melarikan diri dengan melawan arus ini kerana hanya tidak mempunyai lesen memandu, namun sanggup membahayakan dengan menunggang secara bahaya. Ibu bapa sepatutnya mengambil tahu pergerakan anak meraka, jangan tunggu anak sudah tidak bernyawa baru nak menyesal,” katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2018 @ 3:06pm
d