mutakhir

Ditahan punggah syabu 51.9kg [METROTV]

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

PENGEDAR dadah ditahan bersama syabu seberat 51.9 kilogram (kg) bernilai lebih RM2.5 juta di kawasan Bandar Sri Perdana, Lahad Datu, Rabu lalu.

Tangkapan dilakukan di kawasan letak kereta di bandar berkenaan selepas suspek lelaki berusia 30-an yang dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika memunggah sebuah beg besar.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata beg bercorak merah jambu itu yang diturunkan dari tempat duduk belakang sebuah kereta pacuan empat roda mengandungi dadah dipercayai syabu.

“Sebaik dihampiri, lelaki berkenaan cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan dengan anggota polis sebelum suspek ditahan. Pemeriksaan terhadap beg dibawanya menemui 25 bungkusan plastik kuning keemasan bercetak perkataan ‘Daguanyin’ berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Pemeriksaan lanjut dalam pacuan empat roda turut menemui sebuah lagi beg bercorak bunga hitam putih di tempat duduk belakang.

“Sebanyak 25 bungkus plastik kuning keemasan berisi syabu turut ditemui dalam beg berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, hari ini.

Nasri berkata, suspek bersama syabu seberat lebih 51.9 kg itu kemudiannya dibawa ke IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut, manakala beberapa barangan milik suspek termasuk jam tangan Rolex bernilai RM141,600 dan sebuah pacuan empat roda dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM2.64 juta.

Sementara itu, pada sidang media sama, Nasri berkata, suami isteri disyaki pengedar dadah yang turut membawa anak kecil diberkas dipercayai ketika menghantar dadah di Batu 5, Jalan Lahad Datu – Sandakan, semalam.

“Anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Lahad Datu yang menjalankan operasi sekatan jalan raya memeriksa kenderaan Perodua Alza dinaiki pasangan berusia dalam lingkungan 40-an itu bersama anak perempuan mereka berusia enam tahun.

“Ketika diperiksa, wanita berkenaan dilihat dalam keadaan mencurigakan dan menggelabah sebelum menyerahkan dadah dibungkus dengan plastik hitam disembunyikan dalam coli.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dadah berkenaan seberat 79.9 gram dan dianggarkan bernilai RM6,000. Turut dirampas ialah kenderaan, jam tangan jenama Rado, dua bentuk cincin emas, rantai dan gelang emas serta wang tunai RM4,350 dengan nilai rampasan keseluruhan RM50,000,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Langkah -Langkah Pencegahan Khas 1985 dan Seksyen 7 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Disiarkan pada: October 6, 2018 @ 7:49pm
d