mutakhir

Minta hutang, dapat parang [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

MINTA hutang, tapi dapat parang. Itu nasib yang terpaksa diterima seorang lelaki apabila parah di tangan dan kaki akibat ditetak rakannya yang enggan membayar hutang di Butterworth, semalam.

Mangsa bersama dua rakannya berusia 20 hingga 28 tahun terpaksa dibawa ke hospital selepas diserang lapan lelaki bersenjatakan parang di sebuah restoran di Raja Uda, 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berpunca apabila mangsa meminjamkan wang kepada salah seorang rakannya yang juga suspek sebulan lalu.

Beliau berkata, suspek sebelum itu menelefon mangsa supaya datang ke lokasi kejadian untuk berbincang dan mahu menyelesaikan pinjaman itu.

“Ketika berbincang, berlaku pertengkaran di antara mereka sebelum suspek bersama tujuh rakannya yang lain menyerang mangsa menggunakan kerusi dan parang di dalam kedai makan itu.

“Mangsa yang parah kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya sebelum pihak perubatan memaklumkannya kepada polis,” katanya.

Menurutnya, mangsa cedera dan mengalami kesan luka tetakan di bahagian bawah lutut, kaki kanan dan lengan kiri .

Katanya, mangsa juga patah kaki kanan dan patah tangan kiri.

“Dua rakan mangsa juga cedera akibat dipukul dengan kerusi termasuk seorang lagi rakannya mengalami luka di kepala dan tangan akibat terkena parang dan dirawat sebagai pesakit luar.

Noorzainy berkata, suspek kini diburu pihak berkuasa dan polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi balai polis berhampiran.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan merusuh.

Disiarkan pada: October 7, 2018 @ 2:43pm
d